![]() The excited feeling
First time for this sensation
I feel like I’m under a spell
When I look at you
![]()
|
Terlanjur Mencintaimu
Ahad, 17 November 2013 | 0 comments
Assalamuallaikum ..
Kehidupan adalah anugerah utama dari Illahi , Anugerah
kehidupan yang memberi gambaranNya buat kita
sebagai hambanya yang wajib kita syukuri dan hargai ..
TERLANJUR MENYINTAIMU...
Muhammad Danish Sirhan . Satu nama yang cukup aku kenal satu
ketika dahulu. Dia pernah menjadi suami aku. Suami yang bergelar hanya pada
nama tapi tidak pernah memiliki sepenuhnya jiwa dan hati aku ketika itu.
Perkahwinan yang berlandaskan kertas putih dengan seribu perjanjian yang boleh
menjatuhkan maruah seorang suami. Aku tahu, Danish tidak pernah mempersetujui
dengan apa yang aku lakukan sebelum kami mengikat tali perhubungan yang suci.
Namun, kerana sayang dan cintanya pada aku dia menerima niat
aku tanpa sebarang bantahan yang keluar dari mulutnya. Kenapa Idham tidak
seperti Danish? Sungguh berbeza nilai dan peribadi mereka antara satu sama
lain.
Danish terlalu baik tapi hati aku tidak dapat menerima
cintanya. Kenapa? Dia cukup sempurna
untuk menjadi seorang suami dan pemimpin yang boleh menjaga aku sehingga ke
akhir hayat. Adakah aku yang terlalu bodoh untuk menolak cintanya yang tulus
dan ikhlas menyayangi aku, atau keegoan aku yang menguasai diri.
“Saya menerima awak bukan atas paksaan sesiapa tapi hati ini
yang ikhlas mencintai awak. Saya tahu taraf awak dan saya berbeza ibarat langit
dan bumi tetapi untuk membahagiakan awak, itu adalah jaminan saya sebagai bukti
bahawa saya menyayangi awak. Walaupun kontrak kita hanya setahun tapi cinta
saya sampai ke mati.
”Biarpun kita akan berpisah nanti, namun untuk menghilangkan
ingatan saya terhadap awak adalah amat sukar. Sekali saya dah letakkan awak
dalam hati saya bermakna awaklah gadis pertama dan terakhir yang saya cintai
walau awak membenci saya seumur hidup awak……”
Kata-kata itu masih aku ingat sampai sekarang. Keegoan aku
ketika itu mulai luntur tapi hati aku keras. Aku menolak cintanya mentah-mentah
kerana bagi aku, lelaki mudah mengeluarkan kata-kata manis namun untuk
membuktikannya adalah satu dalam sejuta. Aku tidak mempercayai Danish.
Bagi aku, Idham lelaki pertama yang mencuri hati aku adalah
terlalu sempurna untuk aku. Aku bertemu dengan Idham sewaktu kami menyambung
pengajian di London. Idham bijak memainkan kata-katanya dengan rupa parasnya
yang kacak itu untuk menambat hati aku. Hanya dunia sahaja yang tahu bagaimana
gembiranya hati aku ketika itu dapat berpasangan dengan Idham , seorang lelaki
yang menjadi rebutan gadis-gadis lain di luar sana.
Hampir dua tahun hubungan kami terjalin. Tiada sebarang
masalah di antara kami sepanjang perhubungan itu. Pertengkaran kecil adalah
perkara biasa bagi kami. Seringkali juga kawan-kawan aku menasihatkan supaya
berpisah dengan Idham kerana dia bukanlah seperti apa yang aku sangka. Dia
adalah Romeo. Banyak kali mereka terserempak dengan Idham bersama gadis-gadis
lain. Aku yang bodoh kerana tidak pernah percaya dengan kata-kata mereka.
Pada fikiran aku ketika itu, mereka terlalu cemburukan aku.
Itulah sebabnya mereka memfitnah Idham supaya hubungan kami putus dan mereka
boleh mengambil kesempatan memenangi hati Idham. Sehinggakan aku hampir hilang
kawan hanya semata-mata kerana terlalu mempercayai Idham.
Selepas tamat pengajian, aku pulang ke Malaysia. Idham masih
di London kerana tempoh pengajiannya ada lagi setahun. Ketika itulah detik hidup
aku bersama Danish bermula. Aku telah dijodohkan dengan Danish oleh ayahku.
Entah mengapa, ayah terlalu sukakan Danish sedangkan Danish
hanyalah pekerja bawahan ayah. Dia bukanlah dari keluarga yang senang dan setaraf
dengan kami. Namun, ayah tidak mengambil kira itu semua.
Kata ayah, Danish mampu menjaga aku sebagaimana ayah dan ibu
menjaga, mendidik dan membesarkan aku. Dia percayakan Danish sehinggakan dia
pernah berkata segala hartanya termasuk aku akan diserahkan kepada Danish andai
satu hari nanti dia pergi buat selama-lamanya. Kepercayaan ayah terhadap Danish
memang tiada batasan, begitu juga dengan ibu. Aku tahu, ayah ada penyakit yang
kronik iaitu sakit jantung dan darah tinggi. Aku tak sanggup untuk menolak
permintaan ayah. Mereka adalah segala-galanya untuk aku.
Betapa perit dan payahnya mereka membesarkan aku. Ayah juga
bukanlah dari keluarga yang senang tetapi berkat kerajinan dan semangat ayah
yang tinggi serta dorongan ibu membuatkan aku dapat menikmati hidup ini dengan
segala kemewahan yang tak dapat aku bayangkan. Tapi, aku juga inginkan
kehidupan aku sendiri.
Berhari-hari aku memikirkan keputusan ayah samada untuk
menerima atau sebaliknya. Kesihatan ayah tidak mengizinkan aku untuk berfikir
lama.
Akhirnya, persetujuan dibuat dan dalam diam-diam aku juga turut
membuat perjanjian dengan Danish lelaki yang tidak pernah aku temui. Aku
bencikan Danish kerana aku menyangka Danish bukanlah seperti apa yang ayah
bayangkan. Dia mungkin mempunyai rancangan yang besar untuk merampas kekayaan
kami dengan mengahwini aku dan berpura-pura baik di hadapan ayah dan ibu.
“Selepas kita bernikah, saya haramkan awak untuk menyentuh
saya. Kita hanya berlakon di hadapan ayah dan ibu saya begitu juga dengan
keluarga awak. Selepas setahun, awak ceraikan saya. Ini dah termaktub dalam
perjanjian kita.”
Aku tidak berani memandang wajah Danish ketika kami berjumpa
buat pertama kalinya di sebuah restoran. Aku akui, Danish memang tampan orangnya
malah lebih kacak daripada Idham. Sedikit sebanyak hati perempuan aku mulai
cair namun aku pantas melarikan fikiranku pada perkara yang lain. Danish merenung
aku tanpa berkelip mata. Aku gelabah. Langsung tidak dibaca perjanjian MOU yang
aku letak di hadapannya. Sakit hati aku dibuatnya ketika itu. Aku kuatkan
semangat untuk memandang Danish dan cuba berlagak serius.
“Tuhan kurniakan mata untuk melihat apa yang ada di hadapan
kita. Saya dah letakkan fail perjanjian kita di hadapan awak. Takkan awak tak
tahu nak menggunakan mata awak tu untuk melihat apa yang patut?” Aku memerli
Danish. Dia cuma tersenyum. Masih tidak puas menatap wajah aku. Seluruh pelusuk
wajahku dijajahnya.
“Memang Tuhan anugerahkan mata untuk melihat. Sekarang, saya
sedang melihat satu lagi anugerah Tuhan yang diberikan kepada saya. Kecantikan
yang tidak pernah saya bayangkan, tapi sekarang baru saya tahu bahawa sungguh
indah alam ini dengan adanya wanita secantik awak, Nur Qaseh Damia …” Ungkapan pertama
keluar dari mulut Danish.
Aku tersedak, hampir tersembur fresh orange yang sedang
kuminum. Pantas tanganku mencari tisu di dalam beg tangan. Danish masih
tersenyum. Merah padam muka aku menahan malu. Bijak sungguh Danish bermain
dengan kata-kata. Aku hampir terpedaya dengan pujiannya. Ahh…Lelaki, semuanya
sama…
“Tapi sayang, awak tidak menggunakan kecantikan awak itu
untuk melambangkan hati awak. Buat pengetahuan awak, saya ini bukanlah seperti
apa yang awak bayangkan. Niat saya ikhlas untuk memperisterikan Nur Qaseh Damia.
Jangan kerana awak kaya dan hidup mewah, awak takut saya akan merampas semuanya
itu dari tangan keluarga awak. Terus terang saya katakan, seandainya awak ini
adalah gadis cacat yang kudung tangannya atau bisu mulutnya saya tetap akan
mengahwini awak walau awak miskin sekalipun.
”Bagi saya, harta boleh dicari tapi cinta yang tulus suci
hanyalah wujud sekali dalam hidup kita dan awak adalah wanita yang berada di
dalam hati saya sekarang sehinggalah saya tidak bernafas lagi di atas bumi
bertuah ini.” Danish tersenyum lagi.
Aku pula tergamam. Macam mana dia boleh mengenali aku sejauh
begitu. Kata-katanya kedengaran seolah-olah kami pernah berjumpa. Tapi, aku
rasa tidak kerana inilah kali pertama aku melihat wajahnya. Sungguh pelik orang
ini. Danish membuka fail biru itu.
Tanpa dibaca walau sebaris ayat pun, dia mengambil pen dari
poket bajunya lantas ditandatangani MOU tersebut.
“Awak tak berniat nak baca MOU itu sebelum awak sign?” Aku
memberanikan diri untuk bertanya pada Danish. Sekali lagi dia memandang aku
dengan pandangan yang penuh bermakna baginya.
“Kalau saya baca, adakah niat awak itu akan berubah untuk
menerima saya bagaimana ikhlasnya saya menerima awak?” Terperangkap lagi aku
dengan kata-katanya.
Entah kenapa di mana hilangnya marah aku dan semangat aku
ketika itu. Lelaki ini benar-benar lain. Tidakkk!!…..Aku bukan mudah untuk
menerima dia. Cinta aku pada Idham masih kuat. Danish bangun. Air minuman yang
dipesan tidak disentuh, masih suci sepertimana aku ..
~ BERSAMBUNGG ..
|