![]() The excited feeling
First time for this sensation
I feel like I’m under a spell
When I look at you
![]()
|
Isnin, 18 November 2013 | 0 comments
“Assalamualaikum….” Itulah kata-kata terakhir yang
diucapkannya sebelum meninggalkan restoran itu. Aku terpinga-pinga. Pelik dan
aneh lelaki ini.
Sebelum aku berjumpa dengan Danish, terlalu banyak
kemusykilan tentangnya yang berlegar-legar di dalam fikiran aku. Kini pada
pertemuan pertama kami, semakin bertambah kusut fikiran aku memikirkan tentang
Harriz.
Siapakah dia sebenarnya? Apakah yang dia mahu daripada aku?
Atau adakah dia memang benar-benar tulus mencintai aku. Ahhhhh….makin difikir,
makin pening aku dibuatnya.
Kini, telah hampir seminggu aku menjadi isteri kepada
seorang lelaki yang tidak aku cintai. Majlis perkahwinan yang diadakan amat
meriah tetapi aku tidak merasai keseronokan itu. Mungkin Danish juga begitu.
Perhubungan aku dan Danish memang terbatas. Itu adalah syarat aku sendiri
sebelum Danish melafazkan akad nikah.
Kami hanya berpura-pura mesra di hadapan ibu dan ayah tetapi
di sebalik tabir kehidupan kami, tidak wujud kemesraan tersebut. Danish benar-benar
memberi kerjasama yang baik. Kadangkala simpati aku menjengah di hati kecilku.
Pernah aku menasihati dia supaya melepaskan aku sebelum tamat kontrak
perkahwinan kami tapi Danish bukanlah lelaki yang senang dipujuk rayu.
“Saya seorang yang menepati janji. Walau hati ini berat
untuk berpisah dengan awak, saya tetap akan patuhi syarat awak bahawa kita
hanya bercerai selepas tamat tempoh kontrak. Awak sendiri tahu bagaimana
perasaan saya pada awak. Tidak munasabah andai saya menceraikan awak sekarang.
Kalau boleh, saya mahu takdir membuka pintu hati awak untuk menerima cinta saya
dan menyayangi saya sebagaimana tulus dan sucinya cinta saya terhadap awak.”
Tiba-tiba Danish memegang tangan kananku ketika aku sedang
mengikat rambut lantas diciumnya perlahan seolah-olah aku ini bagaikan puteri
yang sedang berhadapan dengan rakyat biasa. Berderau darahku ketika itu. Aku
menjarakkan diri. Bulat mataku memandangnya. Tanpa segan renungan Danish
semakin tajam memandang ke arah aku. Aku gementar. Rasa marah dan geram wujud
dalam diri ini. Danish cuba untuk memperdayakan aku dengan kata-kata manisnya.
“Tolong jangan bersikap kurang ajar! Sudah cukup selama ini
saya bertahan dengan sikap dan perangai awak!! Awak jangan umpan saya dengan
kata-kata manis awak tu. Saya tak akan terpengaruh. Kontrak tetap kontrak.
Biarpun setahun atau dua tahun atau selama-lamanya, saya tidak akan mencintai
awak atau belajar untuk menyintai awak!!
”Cinta saya hanyalah untuk Idham. Awak tahu bukan? Idham
lebih dahulu hadir dalam hidup saya tapi awak merosakkan segala-galanya dengan
memperalatkan ayah dan ibu saya. Saya bukan macam mereka. Itu sahaja yang awak
perlu tahu!!” Bentakku tiba-tiba dengan penuh berani.
Aku sendiri terkejut dengan tindakan aku. Dari mana aku
dapat kekuatan untuk melawan perasaan aku? Aku memaling ke arah lain. Terasa
semangat untuk mempertahankan diri wujud dalam diri ini. Mungkin kerana rindu
aku pada Idham semakin kuat dan kesalahan aku pada Idham juga berat.
Danish hanya diam. Sedikit sebanyak nampak juga perbezaan di
raut wajahnya yang mungkin terkejut dengan kata-kata amarahku yang tiba-tiba.
“Maafkan saya kerana buat awak marah. Saya tak ada niat
untuk menyakitkan hati awak,Qaseh Damia. Saya harap kita masih boleh jadi
kawan,” ringkas sahaja kata-kata Danish kali ini. Aku masih tidak memandang
wajah Danish.
“Nampaknya dah masuk waktu solat Isyak sekarang. Mari, kita
berjemaah,” pelawa Danish lembut. Aku memandang wajahnya.
Dia tersenyum, “saya tunggu di bilik.” Danish berlalu pergi
meninggalkan aku di ruang tamu. Perasaan marahku sudah reda. Malu pun ada bila
mengenangkan kembali kemarahan aku yang berapi-api itu. Nampaknya Danish Harriz
masih boleh buat muka selamba sedangkan sudah berbakul-bakul aku memarahinya
sepanjang dia duduk di rumahku.
|